Wednesday, September 12, 2018

Kesan Pencemaran Kepada Manusia Dan Alam Sekitar

Kesan kepada manusia 

Pencemaran Air



Pencemaran air memberikan kesan kepada penduduk di alam ini. Kesannya ialah , manusia akan banyak mendapat penyakit . Hal ini demikian kerana , air sungai yang tercemar oleh sampah sarap atau sisa buangan dari kilang yang dibuang ke dalam sungai .Sesetengah , individu tidak mampu menaggung kos kehidupan lalu terpaksa menggunakan air sungai sebagai sumber bekalan air yang utama . Mereka lebih cenderung untuk mendapat penyakit dari sumber air sungai yang kotor.


Pencemaran Udara


Kesan utama pencemaran udara kepada manusia adalah sistem pernafasan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dan melambatkan tindak balas manusia. Kesan seterusnya akan menyebabkan seseorang itu mengantuk, mempunyai penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru.
Bahan tercemar seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Bahan tercemar seperti gas ozon boleh menimbulkan kerengsaan dan akan menyebabkan inflamasi paru-paru dan ketidakupayaan untuk bergerak. Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata manusia.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Ia adalah tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan.



Pencemaran Bunyi

Kesan bunyi adalah berkait dengan kesihatan dan tingkah-laku secara semulajadi. Bunyi yang tidak dikehendaki ini dikenali sebagai pencemaran bunyi. Bunyi yang tidak diingini ini mampu merosakkan kesihatan secara fisiologi dan juga secara psikologi. Pencemaran bunyi mampu menyebabkan seseorang itu rimas dan mempunyai gangguan seperti sikap yang agresif, hipertensi, tahap tekanan tinggi, kehilangan pendengaran, gangguan tidur, dan kesan buruk yang lain. Seterusnya, tekanan dan hipertensi adalah punca utama masalah kesihatan, di mana telinga berdengung atau 'tinitus' yang boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah daya ingatan, tekanan teruk dan serangan panik yang tidak dapat diduga.
Pendedahan yang kronik kepada bunyi yang bising mungkin dapat menyebabkan kehilangan pendengaran akibat. Statistik telah menunjukkan bahawa lelaki yang berusia yang didedahkan kepada bunyi yang bising akan mengalami kekurangan pendengaran yang sensitif berbanding rakan sejawat yang tidak terdedah. Walaupun perbezaan di antara kedua-dua kumpulan dari segi pendengaran yang sensitif akan menurun dengan mengikut masa, tetapi kedua-dua kumpulan ini tidak dapat dibezakan ketika berumur 79 tahun. Satu perbandingan telah menunjukkan bahawa puak Maaban di Ghana tidak begitu terdedah kepada bunyi bising yang dihasilkan oleh pengangkutan atau perkilangan, berbanding dengan penduduk di Amerika Syarikat yang biasa. Perkara ini menunjukkan bahawa pendedahan kronik bunyi yang bising kepada persekitaran dengan tahap bising yang sederhana dapat menyumbang kepada kehilangan pendengaran.

Tahap bunyi bising yang tinggi mampu menyumbang kepada kesan kardiovaskular dan pendedahan kepada tahap sederhana tinggi dalam tempoh lapan jam boleh menyebabkan peningkatan statistik pada tekanan darah daripada lima hingga sepuluh poin. Peningkatan tekanan perasaan atau ‘vasoconstriction’ juga mendorong kepada peningkatan tekanan darah termasuk juga peningkatan kejadian penyakit arteri koronari.
Pencemaran bunyi juga merupakan punca gangguan kepada orang ramai. Kajian pada tahun 2005 oleh penyelidik dari Sepanyol telah mendapati bahawa penghuni di sekitar kawasan bandar sanggup untuk membayar sekitar empat Euro pada setiap desibel dalam tempoh setahun bagi mengurangkan bunyi.

Pencemaran Tanah

Pencemaran tanih atau tanah yang tercemar secara langsung memberi kesan kesihatan manusia melalui sentuhan langsung dengan tanah atau melalui penyedutan bahan cemar tanah yang telah mengewap; potensi ancaman yang lebih besar adalah ditimbulkan oleh penyusupan pencemaran tanah ke dalam akuifer air bawah tanah yang digunakan untuk kegunaan manusia, kadang-kadang di kawasan yang kelihatannya jauh dari mana-mana sumber jelas pencemaran tanah di atas.
Kesan kesihatan akibat pendedahan kepada pencemaran tanah berbeza bergantung kepada jenis pencemar, laluannya dan kelemahan pada penduduk yang terdedah. Pendedahan kronik kepada kromium, plumbum dan logam lain, petroleum, pelarut, dan banyak racun perosak dan racun herba formulasi boleh mengakibatkan karsinogenik, boleh menyebabkan gangguan kongenital, atau boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik lain. Tumpuhan bahan perindustrian buatan manusia atau bahan-bahan semulajadi, seperti nitrat dan ammonia yang berkaitan dengan baja ternakan daripada operasi pertanian, juga telah dikenal pasti sebagai membahayakan kesihatan dalam tanah dan pada air bawah tanah.




 

Kesan kepada Alam Sekitar

 

Pencemaran Air 

Sisa toksik daripada industri yang dibuang menyebabkan sisa kimia berkumpul di laut dan sungai dan ph air juga akan meningkat. Sisa Perindustrian sering mengandungi banyak sebatian toksik yang merosakkan kesihatan haiwan akuatik dan makanannya. Racun boleh menyebabkan kesan yang boleh membawa maut dan kehilangan habitat kepada kehidupan haiwan. sebagai contoh, perairan di terengganu ekoran daripada pembuangan sisa domestik ke dalam laut menyebabkan penyu mati kerana termakan plastik. 

Pencemaran Udara

Kesan kepada tumbuhan adalah seperti mengalami kerosakan nekrosis (keguguran daun), klorosis (pertukaran warna), dan pertumbuhan terbantut.
Kesan ini juga akan menyebabkan sebahagian daripada penduduk bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi yang akhirnya menganggu kehidupan seharian. Selain itu, kesan itu akan mengganggu keseimbangan ekosistem.
Haiwan akan terancam atau mati akibat daripada pencemaran udara. Perkara ini disebabkan oleh udara yang memasuki paru-paru haiwan. Selain itu, makanan daripada sumber tumbuhan akan tercemar oleh pencemaran udara.
Kesan kepada bahan bermaksud kerosakan berlaku akibat daripada pencemaran udara seperti kekotoran pada pakaian, pencemaran pada permukaan dinding bangunan dan sebagainya. Perkara ini berlaku akibat daripada pengenapan asap atau zarah halus.
Hakisan logam juga merupakan kesan daripada pencemaran udara akibat kehadiran sulfur dioksida di dalam udara. 
Pencemaran udara akan menyebabkan berlakunya pemanasan global akibat daripada penyusutan lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran terus cahaya matahari. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit. Di samping itu, pancaran matahari yang terik juga akan menyebabkan berlakunya pencairan ais di bahagian kutub bumi. Pada masa kini, ekosistem di dunia mengalami ketidakseimbangan.
Hujan asid berlaku disebabkan oleh penggabungan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini akan terkumpul di dalam awan dan bergerak ke tempat-tempat lain. Asid tersebut akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Kesannya, ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Tambahan pula, ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang serta tidak subur.
Kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperbincangkan ole seluruh negara pada masa kini adalah tentang kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon juga menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia. Kenaikan suhu bumi adalah disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara.
Gas karbon dioksida yang terlalu banyak telah menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesannya adalah permukaan bumi akan menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.
Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan akibat jerebu.

Pencemaran Bunyi

Bunyi bising mampu memberi kesan buruk pada haiwan menyebabkan tekanan, meningkat risiko kematian dengan menukar keseimbangan sensitif pengesanan dan mengelak pemangsa/mangsa, dan menganggu penggunaan bunyi mereka sebagai perhubungan terutama berkait dengan pembiakan dan navigasi. Dedahan lampau akustik boleh mendorong kepada kehilangan pendengaran sementara atau kekal.
Kesan bising pada kehidupan haiwan adalah kemusnahan habitat yang disebabkan bunyi bising, dalam kes spesies terancam mungkin merupakan laluan kepada kepupusan. Pencemaran bunyi telah menyebabkan kematian speseis paus tertentu yang menyadai diri mereka selepas terdedah kepada sonar tentera yang kuat.
Bunyi bising turut menyebabkan spesies berhubung lebih kuat, yang dikenali sebagai tindak balas vokal Lombard. Ahli sains dan penyelidik telah melakukan ujian yang menunjukkan lagu paus adalah lebih panjang apabila pengesan kapal selam diaktifkan. Sekiranya makhluk tidak "bercakap" cukup kuat, suara mereka akan tenggelam oleh bunyi "anthropogenik". Bunyi yang tidak didengari ini mungkin amaran, pencarian mangsa, atau persediaan bagi jaring buih. Apabila satu spesies mula bersuara lebih kuat, ia akan menengelami suara speseis lain, menyebabkan keseluruhan sistem ekologi akhirnya bercakap lebih kuat.
Burung Robin Eropah European Robins yang tinggal dalam persekitaran bandar lebih cenderung untuk menyanyi pada waktu malam di tempat yang memiliki pencemaran bunyi yang tinggi pada waktu siang, mencadangkan bahawa ia menyanyi malam kerana ia lebih senyap, dan perutusan mereka boleh disebarkan melalui persekitaran dengan lebih jelas.Yang menariknya, kajian yang sama membuktikan bahawa bunyi waktu siang adalah jangkaan lebih kuat bagi nyanyian waktu malam berbanding pencemaran cahaya, yang sering kali dikatakan punca fenomena tersebut.
Zebra finch menjadi kurang taat dengan pasangannya apabila terdedah kepada bunyi trafik. Ini mampu mengubah arah evolusi melalui pemilihan trait, menyerap sumber yang biasanya digunakan bagi aktiviti laindan dengan itu mendorong kepada akibat genetik dan evolusi yang besar.


Pencemaran Tanah

kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ia bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Contohnya negara Jepun yang sering berlaku gempa bumi akibatnya ramai manusia kehilangan harta benda.. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat. Selain itu, pembinaan rumah-rumah di tengah bukit juga akan menyebabkan tanah runtuh apabila berlaku hujan kilat. Nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah bukit dan di kaki bukit akan tergugat.

Langkah-langkah Mengurangkan Pencemaran Alam Sekitar

(Pencemaran:Air, Udara, Bunyi dan Tanah)

Air

Langkah-langkah yang boleh diambil adalah menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat. Untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu menyediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi.Malah, pihak kerajaan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang untuk sistem perparitan di kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan supaya dapat dibina saluran paip khas dan air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.

Udara





~ Menghijaukan kawasan
Penanaman pokok seperti pokok buah-buahan di persekitaran taman perumahan dapat mengurangkan masalah peningkatan suhu! Selain itu, kandungan karbon dioksida dalam udara dapat dikurangkan dan meningkatkan kandungan gas oksigen melalui proses fotosintesisnya.

~Penggunaan petrol tanpa plumbum
Penggunaan petrol tanpa plumbum dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam pelepasan asap kenderaan. Langkah ini dapat mengurangkan masalah jerebu yang sering berlaku di waktu pagi dan juga dapat mengelakkan masalah kesihatan seperti batuk dan selsema daripada berlarutan.

~Program kitar semula
Udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka yang dilakukan penduduk di sekitar taman perumahan boleh diatasi dengan menggalakkan mereka menjual barang-barang yang boleh dikitar semula kepada peniaga barang terpakai. Antara barang yang boleh dikitar semula ialah surat khabar, majalah lama, kertas terpakai dan kotak kertas. Barang-barang ini boleh diproses semula untuk menghasilkan kertas baru.

~Meninggikan serombong asap dan memasang alat penapis asap
Pihak berkuasa mesti mewajibkan pihak kilang meninggikan serombong asap 30 meter ke udara. Disamping itu, serombong asap itu hendaklah dipasang alat penapis asap agar asap yang dilepaskan adalah asap bersih yang telah dirawat dan tidak mencemarkan udara.

~penguatkuasaan undang-undangPihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kuasa untuk mengawasi mana-mana kilang di negeri masing-masing. Oleh itu, jika ada kilang yang tidak mematuhi akta kualiti alam sekitar, penduduk di sekitarnya boleh membuat aduan kepada PBT untuk diambil tindakan selanjutnya.

~Kempen
Kempen mencintai alam sekitar yang disiarkan dalam TV dan radio hendaklah dihayati supaya alam sekitar kita terpelihara. Rasa tanggungjawab perlu disemai dalam diri setiap individu agar alam sekitar bersih dan selamat untuk generasi akan datang. 


Bunyi

~Penguatkuasaan Undang-Undang.
Melalui penguatkuasaan undang-undang, banyak sumber-sumber pencemaran bunyi dapat dikurangkan. kebanyakan negara menggunakan undang-undang tersebut untuk mengurangkan pencemaran bunyi yang semakin berleluasa terutamanya pencemaran bunyi dari kenderaan bermotor. Undang-undang tersebut juga ada digunakan di Malaysia. Ia meliputi kenderaan bermotor, penerbangan tempatan, kualiti alam sekeliling, kilang dan jentera dan lain-lain. Melalui undang-undang tersebut, sesebuah negara dapat mengurangkan secara tidak langsung kuantiti pencemaran bunyi kepada kadar yang lebih minimum sekaligus dapat mengurangkan risiko kesan pencemaran tersebut kepada manusia.
~Kawalan Secara Teknikal.
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam kawalan secara teknikal. Teknologi yang semakin membangun pada masa kini dapat mengurangkan atau menyingkirkan bunyi. Sebagai contoh, untuk mengurangkan bunyi di jalan raya, penggunaan halangan bunyi, mengehadkan kelajuan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk, menukar tekstur jalan, mengubah reka bentuk tayar dan lain-lain. Dengan kemajuan teknologi yang semakin maju, bunyi bising dari kapal terbang juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk enjin jet yang lebih senyap. Ini dapat mengurangkan tahap bising untuk penduduk yang menetap berhampiran di kawasan lapangan terbang. Kebisingan hasil dari kawasan perindustrian juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk semula peralatan perkilangan, memasang sistem penggantungan dan halangan fizikal di tempat kerja.

 

Tanah

Pendidikan alam sekitar merupakan salah satu kaedah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah pencemaran tanah.Pendidikan alam sekitar dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar.Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu,dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan.


Selain itu,kempen kesedaran juga boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.Antara kempen-kempen alam sekitar yang boleh dilaksanakan adalah kempen cintailah sungai kita,kitar semula,dan sahabat alam.Dalam kempen ini peserta akan diajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan sebagainya.

Pendedahan media masa juga merupakan salah satu cara yang boleh di ambil untuk menangani isu pencemaran tanah.Pada hari ini,media masa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna.Oleh itu,dengan adanya pendedahan media masa tentang isu pencemaran alam,masyarakat umum akan berhati-hati dalam menangani masalah pencemaran.
  

Rujukan

https://ms.wikipedia.org/wiki/Alam_sekitar

https://ms.wikipedia.org/wiki/Pencemaran_air

https://ms.wikipedia.org/wiki/Pencemaran_bunyi
 

Kesimpulan 


Selagi minda masyarakat tidak berubah, selagi itu masalah seperti pemanasan global , pencemaran sungai , perbalakan dan sebagainya tidak akan dapat diatasi. Oleh itu , kesedaran masyarakat untuk mengurangkan berlakunya masalah yang akan mengancam nyawa dan kehidupan kita adalah amat penting. Menghargai , memulihara dan memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab kita. Kita semua hidup dalam satu bumi dan langgit yang sama , kita hendaklah sama berusaha untuk membina satu bumi dan kehidupan yang lebih berkualiti , bersih , segar dan cantik dengan bermula menghargai dan memulihara alam sekitar.

No comments:

Post a Comment

player

#player { width: 100%; }​

Kumpulan 10 Pengajian Malaysia DUB1012 Nama Pensyarah; Surya Adliza Abdul Kadir Kumpulan 10 Nama;                           ...